Thursday, April 25, 2013 | 6:01 AM | 0comments
Pencemaran bunyi sering menjadi isu tetapi ia kurang diberi perhatian. Akhir-akhir ini, aspek ini dibincangkan secara bersungguh-sungguh apabila paras bunyi semakin meningkat dari hari ke hari. Pembangunan negara yang pesat menuju status negara industri yang menyebabkan bilangan kenderaan di jalan raya meningkat merupakan antara sumber bunyi utama di negara kita. Projek-projek pembinaan yang menggunakan banyak jentera dan pembinaan lebih banyak lapangan terbang juga merupakan antara penyumbang lain pencemaran bunyi. Dalam sektor pekerjaan, paras bunyi yang selamat harus dipastikan bagi mengelak pekerja mengalami masalah pendengaran. Buat masa ini, kebanyakan sektor industri di negara ini lebih berorientasikan buruh berbanding di negara-negara maju. Sehubungan ini pengoperasian jentera dalam bangunan mungkin mendedahkan pekerja kepada risiko kerosakan pendengaran. Pengukuran bunyi juga amat penting bagi menilai sumber, kesan dan teknologi kawalan yang sesuai.
Pencemaran bunyi didefiniskan sebagai bunyi bising yang keterlaluan sehingga menyakitkan telinga.Pencemaran bunyi biasanya melebihi 80 dB(A)[desibel] dan pencemaran ini mengikut situasi dan keinginan masing-masing. Pencemaran ini boleh dibahagikan kepada empat bahagian,iaitu kebisingan selenjar,kebisingan fluktuasi dan hentakan impuls, dan kebisingan selang-seli.
Kebisingan selenjar adalah kebisingan yang selar dan kurang daripada 3 desibel (dB). Ini berlaku apabila seseorang sedang berbisik kerana gelombang bunyi bergetar dengan lebih perlahan..
Kebisingan fluktasi pula merupakan kebisingan yang terlatak antara puncak gelombang yang tinggi dan rendah. Pada tahap ini getaran gelombang bunyi akan bergetar dengan lebih cepat daripada kebisingan selenjar. Getaran gelombang adalah sekitar 3 dB sahaja. Contohnya kebisingan fluktasi berlaku apabila seseorang sedang berbual-bual , dan bunyi enjin yang tidak dimatikan.
Hentakan impuls merupakan bunyi yang lebih intensiti dalam tempoh yang lebih singkat. Contohnya tembakan, ketukan atau lagaan daripada benda yang keras. Pada kebiasaannya, tahap ini getaran gelombang akan memuncak dan menurun dengan cepat. Pada tahap ini intensiti bunyi adalah melebihi 80 dB kemudian gelombang bunyi akan menurun dengan cepat. Akan tetapi intensiti masih menunjukkan tahap yang tinggi kerana bunyi yang kuat akan memberi kesan yang lama terhadap getaran. Kebisingan selang seli berlaku secara berselang-seli. Ianya dihasilkan apabila bunyi bising menjadi perlahan dan kuat dalam jangka masa yang pendek. Contoh : Ketika seseorang sedang menggergaji kayu, getaran akan berlaku ketika gergaji itu bergerak dan getaran tidak akan berlaku apabila gergaji kayu dihentikan. Semasa gergaji sedang ditarik intensitinya akan meninggi pada kadar tertentu dan menurun apabila gergaji tidak disorongkan.
Punca-punca berlakunya pencemaran bunyi adalah seperti pembangunan dalam kawasan industri dimana bunyi yang bising akan dikeluarkan melalui pemprosesan material, jentera,dan kenderaan.Aktiviti pembuatan ini secara tidak langsung akan menjejaskan ketenteraman orang ramai dan memberi kesan gelisah, kurang rehat, gangguan pemikiran dan lain-lain atas pencemaran bunyi yang dikeluarkan.
Di kawasan petempatan pula, punca berlakunya pencemaran bunyi adalah proses pembinaan yang menanamkan cerucuk-cerucuk besi di dalam tanah demi membinakan bangunan-bangunan yang tinggi. Selain itu kenderaan - kenderaan awam yang mengeluarkan bunyi bising yang memekakkan telinga di kawasan penempatan dan sekitar sekolah juga punca utama yang menyumbangkan kepada pencemaran bunyi . Contohnya pemandu kereta yang suka `hon` sesuka hati dan tidak mematikan enjin sementara menunggu anak di sekitar sekolah .
Aktiviti masyarakat seperti mendengar radio dan menonton program televisyen dengan suara yang kuat juga merupakan punca berlakunya pencemaran bunyi . Pada sesetengah masa aktiviti masyarakat seperti mengadakan konsert semasa musim perayaan dan tidak merendahkan bunyi pembesar suara walaupun selepas pukul 12 malam juga merupakan pencemaran bunyi yang sering berlaku .
Pencemaran bunyi dalam kehidupan moden ini sememangnya banyak membawa kesan yang negatif ke atas kesihatan manusia. Pencemaran bunyi yang negatif selalu menstimulasikan mekanisme pertahanan badan manusia yang mengakibatkan rembesan adrenalina(hormon) dan respons-respons fisiologi lain walhal ketiadaan keadaan yang membahayakan.
Kesan pencemaran bunyi ke atas manusia dapat dibahagikan kepada kesan fisiologi dan kesan psikologi . kesan fisiologi melibatkan kehilangan pendengaran dan respons kepada keadaan cemas manakala kesan psikologi berlaku akibat pencemaran bunyi yang mengganggu komunikasi antara manusia., mengganggu tidur dan seterusnya menjejaskan kestabilan mental dan mengganggu proses mental, iaitu pemikiran dan pemusatan perhatian susah dilakukan.
Kesan kesan negatif yang tersebut diatas biasanya berlaku kepada orang-orang yang selalu terdedah kepada bunyi bising yang kuat di tempat kerja atau sekitar tempat perumahan mereka. Contohnya pekerja-pekerja kilang dan penduduk-penduduk di sekitar lapangan terbang yang mungkin menghadapi risiko kehilangan pendengaran mereka dimana kehilangan pendengaran biasanya berlaku secara beransur-ansur dan tanpa disedari oleh mereka. Di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling, had maksimum yang dibenarkan bagi kawasan Bandar yang mempunyai jumlah kepadatan penduduk yang tinggi adalah 65 desibel (dBA) untuk waktu siang dan 60 dBA untuk waktu malam. Sesiapa yang tidak mematuhi undang undang dibawah Akta Kualiti Alam Sekeliling boleh dikenakan tindakan undang-undang sekiranya tidak mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan .
Dalam pandangan saya , masalah pencemaran bunyi adalah masalah yang serius dan tidak harus diabaikan mahupun dipandang ringan . Jabatan kerajaan yang bertanggungjawab seperti Jabatan Alam Sekitar dan pihak sekolah harus berusaha mengadakan kempen dan memberi imformasi kepada orang awam serta pelajar pelajar tentang betapa seriusnya pencemaran bunyi yang sedang berlaku di Negara kita. Pihak berkaitan juga harus berusaha meyemaikan perasaan cinta kepada alam sekitar dalam kalangan ahli masyarakat untuk mewujudkan masyarakat yang tanpa pencemaran .







Exchange link? tell me at my cbox...

